Pakar anggap ibu pertengahan umur tidak fikir akibat buruk
LONDON: Wanita berusia 45 tahun ke atas sepatutnya tidak digalakkan melahirkan anak, menurut pakar kesihatan wanita terkemuka, lapor Independent.
Pengarah Klinikal bagi Kesihatan Seksual di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Lothian di Scotland, Dr Anna Glasier, berkata wanita pertengahan usia yang menimbang memiliki anak pada usia lewat perlu berfikir semula kerana ia ‘amat sukar dan jelas tidak menyeronokkan.’
Menulis dalam pelancaran edisi Menopause International, Dr Glazier, menyifatkan wanita berusia yang memilih untuk hamil sebagai tidak berfikir mengenai akibatnya seperti remaja yang melakukan seks tidak selamat.
Kenyataannya itu jelas menimbulkan kontroversi ketika kadar kelahiran di kalangan ibu berusia meningkat secara dramatik sejak beberapa tahun lalu.
Pada tahun 1994, di England dan Wales, terdapat 448 bayi dilahirkan oleh wanita berusia 45 tahun atau lebih; 10 tahun kemudian, bilangan itu bertambah kepada 909.
Di kalangan wanita yang melahirkan anak pada usia 45 tahun atau lebih ialah isteri Perdana Menteri Britain, Cherie Blair, model terkenal kelahiran Somalia, Iman dan penulis Helen Fielding.
Semua wanita terbabit tidak bersetuju dengan kenyataan mereka terlalu tua untuk hamil dengan Iman berkata, dia lebih bersedia pada usia 45 tahun berbanding melahirkan anak sulungnya ketika berusia 21 tahun.
Dr Glasier berkata: “Kebanyakan wanita berkemungkinan untuk tidak menghiraukan kesihatan mereka dan lebih bimbang mengenai anak.
Sama seperti remaja perempuan yang berfikir mereka tidak akan hamil jika melakukan seks tidak selamat – wanita yang agak lewat dalam kehidupan reproduktif mereka – hampir pasti dengan pandangan bahawa keburukan yang dikaitkan dengan kehamilan pertengahan usia tidak akan berlaku kepada mereka.”
Sementara itu Iman, isteri kepada penyanyi David Bowie, melahirkan anak keduanya pada usia 45 tahun.
“Saya berusia 21 ketika melahirkan anak sulung dan tidak bersedia. Kini saya dalam kedudukan menjadi ibu yang berbeza dengan lebih banyak masa dan pengalaman,” katanya. – Agensi