Orang yang hendak berurut tidak boleh dalam keadaan kenyang kerana makanan ambil masa lama untuk hadam
KESEGARAN yang dirasai selepas tubuh diurut menyebabkannya cukup popular serta menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat negara ini dan seluruh dunia.
Urut adalah amalan menggunakan tekanan terhadap tisu lembut tubuh seperti otot, ligamen dan sendi yang boleh mendatangkan kesan positif kepada tubuh. Ia boleh dilakukan pada bahagian tertentu atau seluruh tubuh.
Di negara ini, perkembangan perkhidmatan urut cukup hebat hingga di kebanyakan bandar besar, kewujudan pusat yang menawarkan urut menjadi perkara biasa. Dari pusat urut yang beroperasi di rumah kedai hingga bertaraf eksklusif seperti di pusat spa.
Malah di kebanyakan hotel, termasuk bertaraf lima bintang dalam dan luar negara seperti Bali dan Phuket, urut ditawarkan kepada pelanggan sebagai perkhidmatan nilai tambah.
Bagaimanapun, pusat urut diselubungi imej negatif seperti dikaitkan dengan perkhidmatan seks menyebabkan sesetengah orang keberatan berkunjung ke pusat urut.
Pada masa sama, perkhidmatan urut tradisional masih mendapat tempat walaupun mempunyai beberapa kelemahan seperti suasana kurang selesa dan tidak begitu bersih. Sesetengah juru urut tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai urut.
Mengapa berurut? Setiap orang mempunyai tanggapan masing-masing. Ada yang kerana ingin menghilangkan keletihan dan ada yang mendakwa dapat merawat penyakit tertentu.

Membincangkan mengenai kebaikan urut, Pengarah Urusan Massage Therapy Academy (MTA), Tim Low, yang mengusahakan pusat perkhidmatan urut dan melatih juru terapi urut profesional, memberitahu kebaikan berurut boleh dibahagikan kepada dua bidang, iaitu fizikal dan emosi.
Dari segi fizikal, katanya urut secara dasarnya meningkatkan pengaliran darah dan membolehkan lebih banyak oksigen disalurkan kepada tubuh.
“Keadaan ini memperbaiki pernafasan dan pengaliran darah serta mempertingkatkan keadaan kesihatan secara keseluruhan. Antara kesan emosi ialah menimbulkan perasaan tenang serta mengurangkan tekanan,” katanya.
Bagaimanapun, Tim mengingatkan juru urut bahawa mereka bukan doktor atau pakar terapi yang boleh menentukan penyakit pelanggan.
Menerangkan teknik mengurut, katanya, banyak cara mengurut seperti usapan dengan keseluruhan tangan atau jari. Ini dilakukan dengan tenang terhadap kulit secara berirama dan tekanan yang menghasilkan kesan ketenangan.
Sementara itu, katanya teknik geseran membabitkan pergerakan menggunakan ibu jari atau jari lain menekan permukaan kulit.
Berurut biasanya menggunakan minyak untuk memudahkan pergerakan tangan ke atas tubuh. Tanpa minyak, urutan boleh menyebabkan tubuh berasa sakit.
Tim berkata, minyak dalam urut aromaterapi boleh mengubah perasaan pelanggan dengan sesetengah jenis pewangi boleh meredakan tekanan, ketidakselesaan dan kebimbangan.
Beliau menghuraikan beberapa pantang larang ketika berurut seperti orang yang hendak berurut tidak boleh dalam keadaan kenyang.
“Jika makan hidangan berat, tunggu hingga sekurang-kurang sejam kerana dalam keadaan kenyang, urut boleh menyebabkan darah mengalir keluar dari perut ke arah jantung. Jika ini berlaku, makanan akan mengambil masa lebih lama untuk hadam,” katanya.
Bagi wanita mengandung, katanya urut tidak boleh dilakukan bagi tiga bulan pertama kerana boleh meningkatkan simptom `morning sickness’. Urut terhadap wanita mengandung perlu dilakukan dengan lembut dan elakkan bahagian perut.
“Saya juga tidak menggalakkan mereka yang menghadapi masalah jantung diurut kerana menyebabkan peningkatan pengaliran darah dari dan ke jantung menyebabkan jantung bekerja lebih keras. Ini dikhuatiri menyebabkan serangan sakit jantung.
“Begitu juga dengan mereka yang baru menjalani pembedahan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan jahitan luka terbuka dan pendarahan dalaman atau luaran berlaku.
Tim berkata, urut sebenarnya suatu bidang profesional yang memberi kebaikan tetapi disalah tafsir dan dikaitkan dengan perdagangan seks dengan pusat urut digambarkan juru urut wanita muda berpakaian seksi, tetapi dilabelkan sebagai juru terapi urut.
“Keadaan ini merbahaya kerana wanita muda terbabit mungkin tidak menjalani latihan dan kesannya boleh mencederakan pelanggan. Dari sudut lain, kemungkinan besar ada yang dipaksa bekerja sebagai juru urut,” katanya.
Sejarah Urut
TIADA siapa yang tahu asal usul urut kerana terlalu panjang untuk dijejaki. Ukiran pada kubur Mesir purba menunjukkan amalan ini diamalkan secara meluas dalam masyarakat itu.
Perkataan urut atau massage dalam bahasa Inggeris kemungkinan besar diambil dari perkataan Portugis, amasser yang bermaksud, menguli atau meramas, yang digunakan oleh penjajah Perancis di India pada abad ke-18.
Perkataan ini juga mungkin diambil dari bahasa Arab, massa, yang bermaksud menyentuh.
Kehebatan urut dapat dilihat apabila buku perubatan tradisional Cina bertarikh 2,700 tahun Sebelum Masihi menyarankan latihan pernafasan, urutan pada badan serta senaman pada tangan dan kaki sebagai cara merawat lumpuh, kesejukan dan demam.
Di kalangan ahli perubatan Greek dan Roman, urut adalah antara kaedah utama untuk melegakan kesakitan. Maharaja agung Roman, Julius Caesar, dikatakan diurut setiap hari untuk merawat sakit sarafnya.
Di Barat, Pech Henrik Ling (1776-1839) dari Sweden, dianggap sebagai bapa urut moden kerana beliau memodenkan teknik urut berdasarkan fisiologi.
Falsafahnya, tubuh bukan seperti mesin tetapi adalah sesuatu yang hidup dan melambangkan perasaan manusia, memberi kesan besar terhadap teknik urut Barat hingga tekniknya yang dikenali urut Swedish kemudian terkenal di seluruh dunia.
Pada 1895, Persatuan Juru Urut Terlatih ditubuhkan di Britain untuk meningkatkan kualiti bidang ini. Malah pada 1899, St George Hospital di London mempunyai jabatan urut.
Di Asia, urut di India bukan hanya untuk tujuan perubatan. Ukiran erotik di Khajuraho dan Kamasutra menunjukkan teknik urut tertentu boleh mengubah perasaan manusia dengan memberi rangsangan dan ketenangan.
Di China, pelajar bidang perubatan mempelajari dan menduduki peperiksaan dalam bidang urut dan akupuntur serta menduduki peperiksaan yang bertujuan memahirkan mereka untuk merawat pesakit. Peringkat pertama kelayakan, hsiu ts’ai menyemai ijazah pertama pada zaman sekarang.
FAKTA: Jenis Urutan
Anma
Diperkenalkan di Jepun lebih 1,300 tahun lalu. Urut Shiatsu juga berasal dari teknik ini. Teknik ini tidak menggunakan minyak dan sebaliknya berdasarkan pergerakan menguli.
Terapi Bowen
Menggunakan pergerakan mengguling terhadap otot, ligamen dan sendi.
Lomilomi
Berasal dari cara merawat kuno Hawaii
Urut Batu
Menggunakan batu licin sejuk atau panas, kebiasaannya adalah marmar atau basalt. Batu diletakkan di titik tumpuan utama tenaga seperti Chakra untuk meningkatkan pengaliran tenaga.
Urut Swedish
Gaya ini menggunakan urutan panjang dan berterusan, tetapi tidak semestinya menghala ke jantung. Urut ini direka untuk meningkatkan pengaliran darah.
Urut Thai
Asal-usul urut ini adalah berasaskan Ayurveda di India. Tidak menggunakan minyak dan tertumpu kepada regangan dan melonggarkan otot tubuh.
Urut Tai Chi
Urut ini menggunakan prinsip semula jadi Tai Ji, Yin dan Yang, untuk mencapai keseimbangan tenaga tubuh dan mencapai kesihatan tubuh dan semangat.
Urut Shantala
Teknik purba India ini mempunyai ciri berirama dan diberikan kepada bayi dan kanak-kanak. Urut ini diperkenalkan ke Barat oleh pakar perbidanan terkenal Perancis, Dr Frederique Leboyer dalam bukunya `Loving Hands: The Tradisional Art of Baby Message’.
Urut Kulit Kepala
Diamalkan oleh tukang gunting rambut di Hong Kong, yang mengambil masa antara 30-45 minit ketika menguli syampu pada rambut. Urut ini juga biasa dilakukan di India.
Urut Mayan
Diamalkan di Amerika Latin dengan tumpuan di bahagian perut. Bertujuan memperbaiki penghadaman dan bahagian peranakan.