PBB jangka golongan lebih 60 tahun tambah tiga kali ganda

NEW YORK: Laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan penduduk dunia bakal mencecah 9.2 bilion orang pada 2050.

Jumlah itu termasuk pertambahan hampir tiga kali ganda mereka berusia lebih 60 tahun dengan peningkatan bilangan ketara dicatatkan di hampir semua negara membangun.

Ketua Bahagian Kependudukan PBB, Hania Zlotnik berkata perubahan penting dalam bilangan penduduk itu adalah pengurangan kematian akibat HIV/Aids.

Ini disebabkan peningkatan penggunaan ubat dan pengurangan kes di beberapa negara.

Laporan dikeluarkan semalam itu juga menganggarkan pengurangan 32 juta kematian akibat Aids bagi tempoh 2005-2020 di kebanyakan 62 negara terbabit, berbanding anggaran asal PBB pada 2004.

Perubahan itu menyumbang kepada peningkatan bilangan penduduk yang dianggarkan 9.2 bilion pada 2050 menerusi anggaran 2006, berbanding 9.1 bilion seperti ramalan dibuat pada 2004.

Laporan ramalan 2006 itu turut mengesahkan perubahan besar bakal dilihat aspek kependudukan dunia, kebanyakannya akibat pengurangan kesuburan penduduk negara membangun apabila semakin kurang wanita memiliki anak.

Malah, tahap kesuburan juga berkurangan di 28 negara membangun yang mewakili 25 peratus bilangan penduduk dunia, termasuk China.

Kadar kelahiran di China bagi tempoh 2005-2010 dianggarkan pada 1.73 anak bagi setiap wanita.

Mengikut laporan ramalan 2006, bilangan penduduk dunia berkemungkinan meningkat 2.5 bilion orang dalam tempoh 43 tahun daripada 6.7 bilion orang sekarang.

Jika tahap kesuburan lebih tinggi daripada diramalkan, bilangan penduduk dunia bakal mencecah 10.8 bilion pada 2050 dan jika lebih rendah, ia menyaksikan kewujudan 7.8 bilion orang.

Peningkatan penduduk itu dicatatkan kebanyakannya di negara kurang maju dengan pertambahan daripada 5.4 bilion penduduk pada 2007 kepada 7.9 bilion pada 2050.

Negara miskin seperti Afghanistan, Burundi, Congo, Guinea-Bissau, Liberia, Niger, Timor Leste dan Uganda pula dijangka mencatat pertambahan tiga kali ganda menjelang pertengahan abad. – AP

Kirim Komen

*
*