Saintis dakwa bisa Black Widow dapat cegah hamil, atasi masalah lelaki
SANTIAGO: Sekumpulan saintis Chile yang menjalankan penyelidikan tujuh tahun, mendakwa bisa sejenis labah-labah yang biarpun boleh membawa maut kepada mangsa, tetapi dapat mencegah kehamilan dan mengatasi masalah erektil disfungsi (ED).
Gigitannya boleh menyebabkan maut kepada kanak-kanak dan warga tua, tetapi sebaliknya menjadikan mangsa lelaki dewasa memiliki keupayaan seks yang berlanjutan sehingga beberapa hari lamanya.
Saintis itu mendakwa, ia mampu memberi pendapatan lumayan apabila ia dapat dipasarkan dan memberi manfaat kepada ramai lelaki dan wanita yang memerlukan bantuan.
“Cecair bisa labah-labah jenis Latrodectus Black-Widow itu menyebabkan ketegangan anggota sulit lelaki yang tidak dapat dikawal dan sakit selama beberapa hari.
“Namun, kelebihan itu hanya dimiliki labah-labah yang ditemui di selatan Chile dan bukan di negara lain,” kata ketua penyelidik Universidad de la Frontera, Dr Fernando Romero.
Beliau mengetuai sepasukan penyelidik yang mengkaji bisa labah-labah itu selama tujuh tahun.
Usaha itu sebagai susulan dakwaan petani Chile yang mengakui mempunyai kelebihan luar biasa selepas disengat labah-labah berkenaan.
“Kajian awal mulanya tertumpu kepada usaha mengambil pati bisa serangga bagi melihat kemampuannya merawat mati pucuk.
“Namun, kami sebaliknya menemui satu lagi kelebihannya iaitu molekulnya dapat bertindak sebagai mencegah kehamilan.
“Lebih menarik lagi, khasiatnya bukan setakat dari segi perubatan semata-mata tetapi mampu memberi pulangan besar dari segi perniagaan,” katanya.
Romero mendakwa, molekul semula jadi serangga itu jauh lebih berkesan berbanding ubat yang berada di pasaran sekarang.
“Bagi kami di Chile, ia menyediakan peluang besar kerana ini membabitkan penghasilan bisa dan bahan semula jadi yang tiada di pasaran,” katanya.
Romero berkata pihaknya juga sudah membuat permohonan hak paten membabitkan penemuan itu.
Selain dakwaan petani, masyarakat Chile sememangnya sering didedahkan dengan kepercayaan lama mengenai seorang lelaki yang mempunyai kehebatan di ranjang selepas disengat labah-labah.
Labah-labah Black-Widow Chile itu turut dikenali sebagai labah-labah gandum kerana lebih banyak bertumpu di ladang bijiran berkenaan.
Romero berkata, beliau yakin penyelidikan itu dapat diselesaikan dalam masa beberapa tahun lagi sebelum ia dapat dijual di pasaran.
“Kami perlu memastikannya bebas daripada kesan sampingan sebelum dapat dihasilkan dalam bentuk gel atau digunakan bersama kondom serta ubat cegah hamil bagi wanita. – Reuters