KUALA LUMPUR, 18 April – Kerajaan perlu mengambil kira keselamatan kanak-kanak sebelum menguatkuasakan penggunaan tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang kenderaan Jun ini.
Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM) Tunku Datuk Mudzaffar Tunku Mustapha, berkata penggunaan tempat duduk kanak-kanak atau alas untuk meninggikan tempat duduk bagi kanak-kanak hingga usia 14 tahun atau pada tahap ketinggian atau berat badan tertentu adalah perlu bagi memastikan keberkesanan fungsi dan keselamatan penggunaan tali pinggang keselamatan itu.
“Terdapat keperluan untuk mengadakan kajian bagi mengenalpasti pilihan terbaik dalam penggunaan tempat duduk kanak-kanak yang sesuai dan alas untuk meninggikan tempat duduk.
“Situasi yang serupa juga berbangkit di negara lain di mana peraturan menggunakan tali pinggang keselamatan di tempat duduk belakang dilaksanakan kerana timbul persoalan mengenai kesesuaian tali pinggang untuk penumpang dewasa digunakan oleh kanak-kanak.
“Penyelesaian alternatif ialah bagi pelaksanaan tali pinggang keselamatan bagi kanak-kanak dilakukan secara berperingkat dengan sedikit kelonggaran diberikan dalam beberapa situasi sehingga kita dapat mencari satu penyelesaian,” kata Tunku Mudzaffar kepada Bernama semasa diminta mengulas mengenai perkara itu.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad bersetuju dengan cadangan Tunku Mudzaffar itu dan kedua-dua mereka berkata pelaksanaan peraturan itu bagi penumpang dewasa oleh dilaksanakna segera.
Bagaimanapun, Aishah berkata memandangkan terdapat kenderaan lama (lebih 10 tahun) di jalan raya, kerajaan patut lebih bertimbang rasa dalam pelaksanaan peraturan ini kerana kenderaan sedemikian memerlukan beberapa pengubahsuaian bagi pemasangan tali pinggang keselamatan itu.
Pakar dan perunding industri dari Frost and Sullivan’s Automotive and Transportation Practice Asia Pacific, Mike Lee berkata “kanak-kanak akan memerlukan tali pinggang yang direka khas “yang boleh merentangi dada dan bahu mereka dan bukannya di leher atau tengkuk dan tali pinggang yang merentangi di paha dan bukannya perut,”.
Dalam hal ini, seorang kanak-kanak itu harus menggunakan satu daripada kemudahan yang ada untuk memenuhi keperluan kanak-kanak berbeza seperti bakul bayi, kerusi kanak-kanak yang menghadap ke depan dan alas tempat duduk.
“Tanpa alat keselamatan yang sesuai untuk kanak-kanak, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terlorot di bawah tali pinggang yang dikenali sebagai kesan “kapal selam”. Mereka juga boleh mengalami “sindrom tali pinggang“, iaitu mengalami kecederaan serius pada abdomen, tulang belakang dan belakang,” kata Lee.
Mengenai sama ada kerajaan patut memperkenalkan peraturan bagi kereta dipasang dengan tali pinggang keselamatan yang sesuai dan memenuhi keperluan kanak-kanak, Lee berkata ia patut dipertimbangkan dengan syarat alat itu sudah berada di pasaran.
“Kerajaan boleh mengkaji peraturan serupa di Australia dan Eropah untuk menilai apa yang terbaik bagi Malaysia buat masa ini.
“Kita perlu ingat bahawa alat keselamatan yang berkualiti untuk kanak-kanak bukannya murah, dan ia mungkin menjadi bebanan tambahan bagi keluarga di negara ini,” katanya. - benama ( Oleh Mohd Azril Mohd Annuar )