NEW YORK: Satu kajian terbaru mendakwa amalan pengambilan asid folik yang banyak terkandung dalam sayuran hijau dapat mengurangkan risiko serangan angin ahmar atau strok sebanyak 20 hingga 30 peratus.
Serangan angin ahmar berpunca daripada masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kesan kronik seperti lumpuh dan koma, lapor edisi terbaru jurnal perubatan Lancet.
Pakar mendakwa asid folik boleh membawa banyak kebaikan, khususnya terhadap otak kerana merendahkan paras homocysteine – sejenis protin darah yang dikaitkan dengan masalah jantung dan dementia atau nyanyuk.
Profesor Xiaobin Wang, penyelidik Pusat Penyelidikan Kanak-Kanak Amerika Syarikat, melihat kesan pengambilan asid folik terhadap serangan angin ahmar.
“Kami dapati kehadiran vitamin itu dapat mengurangkan risiko serangan angin ahmar secara ketara.
“Malah, pengurangan risiko lebih tinggi sebanyak 30 peratus dicatatkan bagi pengambilan bagi tempoh lebih lama iaitu 36 bulan. Bagi individu yang tidak berdepan sebarang ancaman diserang angin ahmar pula mencatatkan pengurangan risiko 25 peratus,” katanya.
Kumpulan penyelidik Profesor Wang bagaimanapun mengesyorkan lebih banyak penyelidikan khususnya di kalangan individu tiada sejarah ancaman serangan angin ahmar dilakukan bagi tempoh susulan lebih lama iaitu empat tahun ke atas. – Agensi