Arkib Label: Penemuan Baru

JAKARTA: Seekor biawak komodo menyerang dan membunuh seorang budak lelaki berusia lapan tahun di timur Indonesia, kejadian serangan maut pertama dicatatkan terhadap manusia membabitkan binatang berkenaan dalam tempoh 33 tahun, kata jurucakap taman negara, semalam.

Budak lelaki terbabit diserang ketika membuang air besar dalam semak Sabtu lalu di Pulau Komodo, kata Heri Rudiharto.

“Komodo berkenaan menggigit mangsa di pinggang dan melambungnya ke kiri dan ke kanan,” kata Rudiharto.

“Seorang nelayan yang juga bapa saudara budak lelaki terbabit hanya mampu membaling batu terhadap biawak berkenaan untuk membolehkan di melepaskan budak itu dan melarikan diri.

“Budak lelaki itu mati akibat pendarahan yang banyak setengah jam kemudian,” katanya.

Komodo, hanya didapati di timur Indonesia.

Rudiharto berkata, haiwan terbabit tinggal berhampiran kawasan penempatan 1,200 penduduk di Komodo tanpa sebarang kemalangan sejak 33 tahun lalu.

“Mungkin biawak terbabit bertindak demikian kerana kekurangan buruan berikutan kita mula memasuki musim panas dan terlalu banyak pemburuan terhadap rusa,” katanya.

Komodo boleh membesar sehingga tiga meter dan berat 166 kg. Beribu-ribu pelancong melawat Komodo setiap tahun untuk melihat habitat semula jadi binatang berkenaan. – AP