Oleh Wan Faizal Ismayatim
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) akan menerajui pengeluaran vaksin halal daripada lembu bagi penyakit meningitis (radang selaput otak) untuk kegunaan jemaah haji dan umrah seluruh dunia.
Pembangunan vaksin itu, yang dijalankan 12 pakar USM, dimulakan Disember ini dengan kerjasama Institut Perubatan Finlay di Cuba, membabitkan peruntukan RM3.6 juta yang dibiayai secara bersama.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, berkata pembangunan vaksin berkenaan yang mengambil masa dua tahun itu akan menjadikan USM sebagai institusi pertama di dunia mengeluarkan vaksin halal bagi meningitis.
“Pengeluaran vaksin itu menjadikan USM peneraju pembangunan vaksin halal dalam perubatan selaras statusnya sebagai satu daripada empat universiti penyelidikan di negara ini,” katanya selepas majlis Aidilfitri Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, di sini, semalam.
Dr Mafauzy pula berkata, melalui kerjasama itu, USM akan menghasilkan vaksin daripada lembu yang disembelih menggunakan teknologi sedia ada di Institut Perubatan Finlay untuk memastikan bahan yang dihasilkan dapat digunakan umat Islam tanpa keraguan.
“Vaksin halal untuk meningitis itu nanti bukan saja berguna kepada jemaah haji dan umrah dari Malaysia, malah umat Islam seluruh dunia,” katanya.
Mafauzy berkata, meningitis berlaku disebabkan jangkitan virus atau bakteria yang merebak di sesuatu kawasan mempunyai ramai orang seperti pada musim haji serta boleh menyebabkan sawan dan kematian.